mutakhir

Pengetua tadika direman tiga hari bantu siasatan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Pengetua tadika di Taman Ria, di sini, direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang ditemui maut dalam kereta Proton Waja, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Aliff Abd Aziz.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 49 tahun itu ditahan tengah hari semalam di tadika terbabit selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta itu selepas ditinggalkan empat jam di parkir hadapan tadika berkenaan di sini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi dijemput pengetua tadika itu di rumahnya di Taman Ria jam 7.45 pagi semalam namun wanita terbabit dipercayai tertinggal mangsa dalam kenderaannya itu.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang dalam kenderaan itu sekitar jam 12.15 tengah hari sebelum dikejarkan ke hospital namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata, pihaknya turut merampas kunci dan sebuah kereta jenis Proton Waja bagi membantu siasatan.

Katanya, Kes siasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

'Saya dapat rasakan anak menahan kesakitan' [METROTV]

Kanak-kanak maut tertinggal dalam kereta

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 2:30pm
d